Sembahyang merupakan tiang utama yang menghubungkan manusia dengan Allah, dan yang menghidupkan makna iman di dalam hatinya. Sembahyang termasuk sebab datangnya maghfirah, yang terus dibaharui sebanyak lima kali dalam satu hari. Allah SWT berfirman:
"Tegakkanlah sembahyang pada waktu siang, pagi dan petang serta pada sebahagian waktu malam. Sesungguhnya kebaikan menghapus keburukan. Inilah peringatan bagi orang-orang yang beringat." [Surah Hud : ayat 114]
Nabi SAW mengumpamakan sembahyang lima waktu dalam kedudukannya sebagai penghapus dosa dengan sungai yang mengalir. Seorang muslim mandi di sungai tersebut lima kali sehari semalam, hingga ia menjadi bersih dari kelalaian hati dan kotoran-kotoran dosa.
Nabi SAW bersabda:
"Bagaimana pendapat kamu sekiranya ada sebuah sungai terletak di depan pintu rumah seseorang, kemudian orang itu mandi di sungai tersebut setiap hari lima kali. Apa mungkin kotorannya masih ada?"
Para sahabat menjawab:
"Tidak mungkin."
Nabi kemudian melanjutkan:
"Begitulah perumpamaan sembahyang lima waktu. Dengan sembahyang-sembahyang itu, Allah menghapus dosa-dosa dari waktu ke waktu." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ibnu 'Arabi mengulas:
"Kesamaan dari perumpamaan di atas adalah bahawa sebagaimana air boleh membersihkan kotoran yang melekat di badan dan pakaian seseorang, begitulah sembahyang boleh menyucikan seorang hamba dari kotoran-kotoran dosa hingga dosanya terhapus."
Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang menjaga sembahyangnya akan memiliki cahaya, hujah dan keselamatan pada hari kiamat, sedangkan orang yang melalaikan sembahyangnya tidak akan memiliki cahaya, hujah dan keselamatan. Pada hari kiamat, orang yang melalaikan sembahyang akan berkumpul bersama Qarun, Fir'aun, Haman dan Ubai bin Khalaf." (Riwayat Ahmad, juga Ibnu Hibban dalam
Shahihnya).
Sembahyang yang diinginkan oleh Islam tidak hanya sekadar ucapan-ucapan lisan dan gerakan-gerakan anggota badan, tanpa ada
perenungan akal dan
kekhusyukan hati. Sembahyang seperti itu tidak ubahnya seperti ayam yang mematuk-matuk sahaja, atau burung yang berkicau, lalu sudah. Tidak seperti itu yang diinginkan oleh Islam. Sembahyang yang diterima adalah sembahyang yang dilakukan dengan penuh
perhatian, ketakutan dan penghayatan akan kehadiran Tuhan yang Maha Besar.
Nabi SAW memberitahu jiwa sembahyang dengan bersabda:
"Sembahyang berisi penyerahan, doa, kepatuhan dan pengangkatan tangan kepada Tuhan sambil berkata, 'Ya Allah... ya Allah...!' Orang yang tidak melakukannya, sembahyangnya kurang sempurna." (Riwayat Tirmizi, an-Nasa'i dan Ibnu Khuzaimah).
Al-riwayat yang berasal dari Hatim al-Asham. Ia ditanya:
"Bagaimana anda mendirikan sembahyang?"
Jawabnya:
"Aku berwudhuk hingga sempurna, lalu aku datangi tempat sembahyang dengan tenang dan khidmat. Aku bertakbir secara sungguh-sungguh, membaca dengan tartil, rukuk dengan khusyuk dan sujud dengan penuh ketundukan. Aku bayangkan syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, shirath di bawah kakiku, Kaabah di depanku, malaikat maut di atasku, dosa-dosaku mengelilingiku dan mata Allah menatapku. Aku anggap sembahyangku itu sebagai sembahyangku yang terakhir. Aku menyertainya dengan sikap ikhlas semampuku. Lalu aku mengucapkan salam tanpa ku ketahui apakah Allah menerima atau menolak sembahyangku."
---
Seorang hamba datang kepada tuannya lalu berkata:
"Makanan kuda telah hilang."
Maka tuannya tadi bangkit untuk sembahyang. Selesai sembahyang, tuan itu berkata:
"Makanan itu ada di tempat ini."
Hamba tadi lalu berkata:
"Wahai Tuan, ulangilah sembahyang anda, kerana anda tadi sedang mencari makanan kuda!"
---
Wahai orang yang
lalai dalam sembahyangnya! Wahai orang yang
pecah perhatiannya! Wahai orang yang
sibuk dengan aibnya hingga lengah dari mengingat matinya! Wahai orang yang
sedikit bekalnya padahal telah hampir kematiannya! Wahai orang yang
meninggalkan satu marhalah dari dunia pada setiap waktu! Buku catatan amalmu mencakupi semua perbuatan, bahkan yang
sekecil atom pun. Tidak berguna bagi Tuhan adanya perantara.
Cahaya petunjuk telah kelihatan, tetapi kamu
tidak melihat dan
tidak memperhatikannya. Kamu hadirkan tubuhmu dalam sembahyang, namun hatimu
leka.
Jadilah sesukamu! Di hadapanmu ada hisab dan goncangan.
Lekaslah pergunakan sisa umurmu dan perbaiki masa lalumu!
"Wahai Tuhan, berikanlah taufiq kepada kami seperti yang Engkau berikan kepada mereka. Sedarkanlah kami, wahai Tuhan, dari lalai dan tidur yang panjang. Berilah kami bekal untuk hari di mana yang mendapat untung adalah mereka yang beramal: mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." Amiin ya Rabb.
Sumber:
Muhammad Hanif Rasyadi, hal. 40-52,
Rahsia Penyinar Hati, cetakan pertama, tahun 1425 H.
Allah SWT berfirman:
"Dan ingatlah akan nama Tuhanmu serta beribadatlah kepada-Nya dengan sepenuh hati (yakni hentikanlah segala pemikiran, untuk semata-mata menghadap kepada-Nya)." [Surah Al-Muzzammil : ayat 8]
Read more...